Melawan Mahasiswa Kilang?

Saya fikir dua buku ini harus dibaca bersama bagi mendapatkan impak yang kuat. Temanya tetap konsisten, mengkritik sistem pendidikan yang melebarkan jurang diantara masharakat. Antara kritikan penulis adalah sistem pendidikan semasa yang hanya melahirkan pekerja-pekerja yang efisyen bagi memenuhi nafsu rakus sang kapitalis berbanding sepatutnya melahirkan ramai manusia yang ‘manusia’.

Universiti bukan lagi pusat penyemaian ilmu dan inovasi, tetapi hanya menjadi tempat untuk mendapatkan sijil bagi memohon pekerjaan kelak. Dan konteks perbincangan mahasiswa hanya berkisar tentang aktiviti hujung minggu mahu buat apa, apa gosip selebriti terkini, apa cerita yang mahu ditonton, cintan-cintun, mencari tulang rusuk kiri, menanti imam impian dan sebagainya.

Mahasiswa kurang berbicara tentang isu-isu kritis seperti isu semasa negara dan dunia dan isu inovasi terkini. Ustaz Hasrizal pernah menulis tentang hal sebegini di dalam blognya;

Apa yang lembu dan kambing fikirkan setiap pagi adalah apa makannya, apa minumnya, siapa bininya! Dan, berapa ramaikah manusia bertali leher bergaya profesional, juga manusia ke bendang dan ke kilang, dengan falsafah hidup yang sama? Seorang manusia yang hidupnya makan, minum, tidur, rehat, kahwin (seks), tidak usahlah kita bercerita tentang Palestin, tentang Syria, tentang Arakan, hatta tentang GST atau isu pendidikan dan kesihatan negara. Apa yang dia peduli? Dia diumpamakan seperti haiwan ternak yang menternak dirinya sendiri untuk akhirnya menjadi makanan ulat dan cacing di dalam lahad." [1]

Antara kritikan lain, pendewaan bahasa Inggeris yang maha agung dalam segenap aspek kehidupan seharian. Teringat akan tulisan salah seorang kru UTAM mengenai Za’ba yang menggesa para intelektual membawa ilmu yang dipelajari dalam bahasa asing ke bahasa sendiri.

Ada pun yang sebaik-baiknya segala pengajian dalam bahasa-bahasa Barat, Latin dan Greek dan sebagainya, yang telah diperoleh itu hendaklah dijadikan panduan dan bandingan dan alat bagi menyiasat dan menghalus pengajian-pengajian dalam bahasa sendiri. Dengan demikian baharulah berhasil baik, berjaya dan berjasa. [2]

Buku ini harus dibaca oleh mahasiswa, aktivis, intelektual dan yang penting, yang cintakan keadilan untuk semua orang tanpa mengira agama, kaum dan kelas. Kata Martin Luther King Jr, penindasan dan kekejaman di dunia hari ini bukanlah disebabkan manusia yang jahat, tetapi disebabkan diamnya manusia yang baik.

Dan sehingga sekarang, motif Darth Vader menganugerahkan ijazah yang terpapar di depan muka buku Masharakat Melawan Mahasiswa masih misteri.


  1. “Membantu Palestin: Selut Desa Dan Asap Kota Sebelum Debu Gaza”, http://saifulislam.com/2014/07/membantu-palestin-selut-desa-dan-asap-kota-sebelum-debu-gaza

  2. “Membaca Dunia Pendeta Za’ba”, http://utam.net/index.php/component/k2/membaca-dunia-pendeta-za-ba

comments powered by Disqus