Jangan tanya untuk bertanya

Sering kali dalam dunia maya, pengguna internet menyusahkan diri sendiri dan orang lain dengan bertanya untuk bertanya. Kadang-kala pertanyaan itu pula tidak lengkap dan memaksa orang lain untuk “menujum” apa yang cuba disampaikan. Ataupun dengan menyapa dan membiarkan ia tergantung sepi begitu sahaja.

Keadaan begini agak membuang masa, kerana anda seperti menunggu “lampu hijau” untuk bertanya, dan juga membuang masa orang yang sedang ditanya kerana dia terpaksa bertanya kembali untuk memahami pertanyaan. Contoh situasi;

  1. “Siapa tahu Python?”

    Sekarang ia membuka persoalan; ada kerja kosong? Perlu bantuan sebab ada masalah teknikal? Nak buat perjumpaan pengguna Python?

  2. “Siapa tahu apa punca error ni?”

    Uncaught ReferenceError: Vue is not defined
    

    Soalan tidak lengkap. Daripada mesej tersebut kita boleh teka ianya merupakan ralat Javascript. Tetapi orang yang cuba untuk menolong tak dapat membantu dan terpaksa menujum dan bertanya kembali untuk mendapatkan konteks.

  3. “Hai”

    Ini yang paling teruk, dan perbualan ini akan tergantung sehinggalah dibalas oleh penerima

Di dalam dunia maya ini, lebih molek sekiranya kita tanyakan terus soalan yang terbuku di minda. Dunia internet bukanlah seperti dunia realiti, dimana selalunya kita akan minta izin dulu untuk bertanya, takut mengganggu atau masa kurang sesuai.

Tetapi berbeza dalam dunia internet, bila kita bertanya pada seseorang, tak semestinya orang yang ditanya itu sedang online dan bersedia untuk menjawab pertanyaan. Proses ini boleh berlaku secara asynchronous. Boleh jadi anda sedang bertanya sekarang, mungkin akan dijawab sejam kemudian, atau pun keesokan harinya.

Dan sekiranya pertanyaan kita mungkin sedikit sensitif dan membuatkan rasa kurang selesa kepada yang ditanya, bolehlah beritahu awal-awal sebelum bertanya terus tentang perkara sensitif itu.

Sekiranya perlukan jawapan segera atau mendesak, jumpa terus atau telefon sajalah.